Friday 29 November 2013

PERKAHWINAN YANG PERLU MENDAPAT KEBENARAN MAHKAMAH SYARIAH

PERKAHWINAN YANG PERLU MENDAPAT KEBENARAN MAHKAMAH SYARIAH

Berkahwin? Adakah ianya semudah yang disangka untuk diakadnikahkan? Mengapa perlu kebenaran bertulis dari Mahkamah Syariah dan siapa mereka yang perlu untuk memohon kebenaran bertulis tersebut?
Disini akan dihuraikan secara ringkas siapakah yang perlu memohon kebenaran sebelum akad nikah dilangsungkan menurut Undang-Undang Keluarga Islam. Merujuk kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) 1984 memperuntukkan bahawa terdapat 4 golongan yang perlu memohon kebenaran dari Hakim Syarie secara bertulis untuk diakadnikahkan iaitu :-
1.       Lelaki yang berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan yang berumur kurang daripada enam belas tahun.

Seksyen 8 . Tiada suatu perkahwinan bolehh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

2.       Perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab atau wali tidak ditemui atau wali enggan.
Seksyen 13 (b) Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya kepada wali Raja untuk mengakadnikahkan perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi.

3.       Janda Berhias.
Seksyen  14 (3) Jika perempuan itu mendakwa telah bercerai sebelum dia telah disetubuhi oleh suaminya dalam perkahwinan itu, dia tidak boleh, dalam masa ‘iddah perceraian biasa, berkahwin dengan seseorang yang lain daripada suaminya yang dahulu itu, kecuali dengan kebenaran Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat pengantin perempuan itu bermastautin.

4.       Lelaki yang ingin berpoligami

Seksyen 23 (1) Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.
Setelah Hakim Syarie berpuas hati tentang alasan-alasan yang terkandung didalam permohonan dan berpendapat bahawa kes tersebut wajar diberi kebenaran maka satu kebenaran bertulis akan dikeluarkan setelah pemohon membayar fi yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah.






0 comments:

Post a Comment