TUNGGAKAN NAFKAH ISTERI
Bolehkah isteri memohon tunggakan
nafkah? Undang-undang Islam telah
menetapkan bahawa tanggungjawab pemberian nafkah merupakan kewajiban pihak
suami. Kelalaian, kecuaian atau kegagalan pihak suami dalam menjalankan
tanggungjawabnya adalah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang Syariah.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
‘….hendaklah orang yang mampu memberi nafkah
menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi
nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban
kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya’ (al-Talaq 7)
Seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga
Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa :
( 1) Tunggakan
nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak
yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu
terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak
yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika
tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah
menjadi suatu hutang yang kena dibayar dari harta pusakanya.
(2) Tunggakan nafkah
yang tak bercagar yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak
kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri di sisi
undang-undang itu.
Kewajipan membayar nafkah kepada
isteri dikira apabila berlakunya akad pernikahan selama mana isteri masih taat
kepada suami iaitu isteri tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah
Syariah. Sekiranya suami gagal menyediakan nafkah kepada isteri sedangkan
isteri taat dan menjaga maruah suami, tuntutan nafkah atau tuntutan tunggakan
nafkah boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Syariah tempat pihak-pihak
bermastautin. Isteri perlu membuktikan kepada Mahkamah bahawa sepanjang
pernikahan tersebut, suami telah gagal menyediakan nafkah.
Pihak isteri perlu sedar akan
hak-hak mereka manakala pihak suami perlu lebih arif dan peka tentang kewajipan
dan tanggungjawab suami kepada isteri. Sayangi keluarga anda.
0 comments:
Post a Comment