Friday, 24 May 2013

SAGUHATI SELEPAS PERCERAIAN (MUT'AH)



MUT’AH

Mut’ah bermaksud pemberian saguhati daripada pihak suami kepada pihak isteri jika perceraian yang berlaku adalah tanpa sebab yang munasabah mengikut Hukum Syarak.

Dalil Pensyariatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kawin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan mas kawin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mut’ah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu) iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut kemampuannya, dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat demikian.”                                            (Surah al-Baqarah, 2 : 236)

Tujuan Mut’ah :

1.       Meringankan bebab yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh suaminya.
2.       Pihak isteri dapat memulakan kehidupan baru secara sendirian.
3.       Isteri dapat mengharungi masa depan dengan lebih tabah dan sabar.
4.       Bagi meringankan atau menghilangkan kesedihan akibat diceraikan oleh suami.
5.       Sebagai penghargaan bekas suami kepada bekas isteri terhadap sumbangan yang telah diberikan sepanjang hidup berumahtangga.



Berapa kadar Mut’ah?

Tidak terdapat ukuran minimum atau maksimum dalam mensabitkan tuntutan Mut’ah. Kadar tersebut akan ditentukan oleh Mahkamah atau sekiranya terdapat persetujuan antara kedua-dua pihak tentang suatu kadar atau amaun, maka keputusan akan direkodkan. Kadar Mut’ah adalah mengikut kemampuan pihak suami selaras deang firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah.

Enakmen Keluarga Islam Selangor.

Seksyen 58 : “Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak”.

0 comments:

Post a comment